Hukum menjalani rawatan pergigian sewaktu berpuasa: Dr Mawarni

Salam Ramadhan Mubarak dan salam sejahtera kepada semua.

Di bulan Ramadhan yang mulia ini, saya terpanggil untuk berkongsi tentang hukum untuk menjalani rawatan di bulan puasa.

Sebagai seorang rakyat Malaysia yang tinggal di negara yang berbilang kaum dan agama, adalah tanggungjawab saya sebagai seorang perawat pergigian untuk berkongsi sedikit ilmu untuk tatapan rakan-rakan Muslim dan bukan Muslim.

Objektifnya agar kita lebih memahami di antara satu sama lain dan dapat mengelakkan daripada tersalah faham.

Seperti yang kita sedia maklum, di era dunia teknologi maklumat kini, terlalu banyak informasi yang kita boleh perolehi. Tidak semua maklumat tersebut adalah benar atau fakta.

Perkongsian ini adalah melalui pembacaan  saya yang dihimpunkan oleh pakar-pakar pergigian dan ilmuan Islam di Malaysia.

Buku rujukan saya ūüôā

Pertama sekali, ingin saya mendefinisi jenis-jenis hukum dalam Islam seperti berikut:

1.WAJIB– suatu tuntutan untuk dilaksanakan oleh seorang Muslim. Sekiranya dikerjakan dapat pahala dan apabila ditinggalkan mendapat dosa

2. SUNAT- anjuran yang apabila dilakukan mendapat pahala dan jika tidak dilaksanakan, maka tidak berdosa

 

3.HARAM- tuntutan untuk meninggalkan sesuatu perkara yang tidak boleh sama sekali dilakukan oleh umat Islam. Jika dilakukan akan mendapat dosa.

4. MAKRUH- Jika dilakukan tidak berdosa namun jika ditinggalkan mendapat pahala

5. HARUS- Jika dilakukan atau ditinggalkan tidak mendapat dosa atau pahala.

 

Berikut adalah soalan-soalan yang sering menjadi tanda tanya apabila tiba bulan puasa dan jawapan ringkas tentang hukum-hukumnya:-

  • Batalkah puasa saya sekiranya saya berkumur dengan ubat kumur semasa puasa?

Hukumnya harus. Berkumur dibolehkan selagi ubat kumur diperbuat daripada bahan-bahan halal dan tidak menelan air kumuran tersebut.

  • Bolehkan saya berbuka puasa jika mengalami sakit gigi yang amat sangat?

Pesakit dibolehkan dan harus berbuka puasa sekiranya kesakitan tersebut memudaratkan sehingga tidak dapat menjalani aktiviti seharian.

 

  • Bolehkah saya berpuasa jika saya mengalami bengkak gusi tetapi tidak sakit gigi?

Pesakit tidak dibolehkan berbuka sekiranya gusinya bengkak kecil, setempat dan tidak memudaratkan

 

  • Batalkah puasa jika pesakit menjalani rawatan gigi seperti cucian (scaling) gigi, menampal gigi, rawatan kanal akar atau mencabut gigi?

Hukumnya makruh tetapi boleh batal puasa sekiranya air atau darah ditelan sewaktu rawatan.

Biasanya untuk pesakit Muslim, saya cuba sedaya upaya untuk mengurangkan kebarangkalian tertelan dengan merawat dalam keadaan sedikit duduk.

Pesakit diberi peluang untuk kumur atau ludah sekiranya air penuh di dalam mulut. Ini boleh dilakukan dengan pesakit mengangkat tangan dengan segera supaya prosedur dihentikan.

Bagi ubat bius setempat (local anaesthetic injection) untuk prosedur cabutan pula, ianya tidak membatalkan puasa.

 Hanya sekiranya sakit yang memerlukan pesakit untuk memakan ubat tahan sakit, pengambilan ubat  selepas cabutan yang membatalkan puasa.

Justeru, kita boleh melakukan prosedur cabutan atau pembedahan kecil di waktu petang atau hampir waktu berbuka untuk membolehkan ubat diambil sejurus selepas pembedahan.

 

Demikianlah serba sedikit tentang hukum-hakam prosedur pergigian yang biasanya menjadi persoalan sama ada bagi muslim atau bukan muslim.

Diharapkan ianya dapat menjawab kemusykilan dan bermanfaat untuk semua.

Saya sebagai perawat pergigian tetap menghormati segala keputusan pesakit untuk tidak atau meneruskan rawatan.

Sekiranya anda memerlukan bukti-bukti dalil tentang hukum-hukum yang dinyatakan atau masih terdapat kemusykilan yang belum terjawab, bolehlah email saya secara personal di mawarni@story.drfauziah.com.

Kepada semua umat Islam, saya ucapkan selamat beramal di bulan yang mulia ini!

 

Yang Ikhlas,

Dr Mawarni

 

 

 

 

 

 

 

 

 

0 0 votes
Article Rating


Subscribe
Notify of
guest

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

2 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
notra
notra
2 years ago

assalamualaikum, jika tertelan ti,e scalling tu Dr? batal ke juga puasa?